REDHA

REDHA

ALLAH

ALLAH

KITA

KITA

CARI

CARI

Jika Aku Jatuh Cinta

04 March 2010


Ya Allah,
Jika aku jatuh cinta,
Cintakanlah aku pada seseorang yang melabuhkan cintanya padaMu,
Agar bertambah kekuatanku menyintaiMu.

Ya Muhaimin,
Jika aku jatuh hati,
Izinkanlah aku menyentuh hati seseorang yang hatinya tertaut padaMu,
Agar tidak terjatuh aku dalam jurang cinta nafsu..

Ya Rabbana,
Jika aku jatuh hati,
Jagalah hatiku padanya
Agar tidak berpaling daripada hatiMu..

Ya Rabbul Izzati,
Jika aku rindu,
Rindukanlah aku pada seseorang yang merindui syahid di jalanMu..

Ya Allah,
Jika aku menikmati cinta kekasihMu,
Janganlah kenikmatan ini melebihi kenikmatan indahnya bermunajat di sepertiga malam terakhirMu..

Ya Allah,
Jika aku jatuh hati pada kekasihMu,
Jangan biarkan aku tertatih dan terjatuh dalam perjalanan panjang menyeru manusia kepadaMu…

Ya Allah,
Jika Kau halalkan aku merindui kekasihMu,
Jangan biarkan aku melampaui batas sehinga hakiki dan rindu abadi hanya kepadaMu..
Amiin..


Doaku semoga kita sama-sama berjaya di dunia dan akhirat, berjaya mengharungi segala dugaan dan cabaran yang sememangnya menguji kekuatan iman kerana tapak iman itulah yang menemukan cinta yang selama ini telah hilang..


Semoga cinta yang dicari telah ditemui..
Semoga Allah meletakkan kita di bawah paying rahmat kasih-Nya..InsyaAllah..

Baitul Muslim


Firman Allah: (Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. [Maksud surah al-Nur 24:26]

Ayat ini disebut turun sempena peristiwa fitnah ke atas A'isyah radiallahu anha. Maksudnya, seseorang yang bersuamikan orang yang baik, dia juga adalah orang yang baik. Memandangkan A'isyah bersuamikan Rasulullah s.a.w. yang baik, maka A'isyah juga adalah baik.


Sekalipun ianya diturunkan kepada A'isyah radiallahu `anha, keumuman ayat tersebut menjadi pembimbing bagi seluruh umat agar mencari yang baik sebagai pasangan hidupnya.
Justeru ayat 26 surah al-Nur di atas tidak boleh mengenepikan usaha mencari pasangan yang baik, saling menasihati, berdakwah dan Hisbah (`amar maaruf & nahi mungkar) sesama pasangan suami isteri.


Namun, jangan risau jika masih belum berpunya kerana mungkin Allah ingin bagi ketenangan dahulu buat anda terus melangkah menggapai cita-cita. Usah peningkan kepala. DIA menguji anda sedikit masa lagi.


Ku hembus nasihat ini kepadamu hai remaja tanda sayangku tak terhingga. Bagi para GADIS YANG BELUM BERPUNYA, andalah pilihan-pilihan Allah untuk masih mekar terpelihara sehingga tiba pula giliran anda mendapat seruan, yakinlah.


Begitu juga buat PEMUDA YANG BELUM BERPUNYA, 'first thing first'. Utamakan yang lebih penting daripada yang penting. Kenali priority anda sekarang. Jika memang dah sampai saat nak memiliki, tabahlah dan terus berusaha. Ingat, pastikan waktu nak berusaha itu anda memang dah betul-betul mampu dan sedia.


Beringatlah, urusan jodoh tak ke mana. Sudah sedia tercatat seungkap nama di Loh Mahfuz untuk kita. Ianya urusan yang pasti. Apa yang tak pasti, sama ada kita mendapatkannya cara mulia atau sebaliknya. Wallahua'alam.


sumber: Ustaz Hafiz Firdaus & Ustzh Fatimah Syarha


copy and paste dr Dg Siti Khairunnisa Ismail's Facebook Photos sebab saya suka sangat gambar tu dan petikan artikel ini. (^_^)

Dia budak agama, dia pergi usrah, dia pakai tudung labuh…

01 March 2010



Ada seorang hamba Allah perempuan ini. Dia adalah seorang bekar pelajar di sekolah agama. Dia seorang yang solehah, menjaga auratnya dan memakai tudung labuh. Dia juga rajin mengikuti usrah.


Ditakdirkan Allah, dia dihantar belajar ke luar negara. Negara yang dia pergi, bukan pula negara orang Islam. Jurusannya bukan jurusan agama, tetapi Perubatan. Maka, dia diangkat menjadi orang yang dipercayai oleh pelajar yang seangkatan dengannya.

Awal-awal, dia seorang yang komited dengan agama. Sering mengajak kawan-kawannya agar mengingati Allah, melaksanakan amanah-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya.

Satu hari, dia jatuh cinta dengan seorang lelaki yang bukan Islam. Lama kelamaan, dia meninggalkan peribadinya yang lama. Walaupun masih bertudung labuh, dia tidak lagi menjaga batas pergaulan. Sampai satu tahap, dia pernah tidur di dalam kereta berdua-duaan dengan lelaki tadi.

Apakah pandangan anda?

Apa yang anda akan lakukan bila mengetahui perkara ini, bila melihat perkara ini, atau bila menjadi salah seorang daripada kawan-kawan kepada pelaku perkara ini?

Kisah rekaan saya, tetapi situasinya merata-rata

Saya reka cerita itu. Ini bermakna, saya tidak pernah melihatnya dengan mata kepala saya sendiri. Tetapi situasi yang sinonim seperti cerita saya di atas berlaku di banyak tempat. Tidak perlu tanya saya dari mana saya tahu, tetapi saya sekadar hendak anda menjawab, betul atau tidak.

Betul kan?

Budak sekolah agama, lelaki ke, perempuan ke, dulu baik, tiba-tiba terjebak dengan sesuatu di luar lunas agama Allah. Perempuan tudung labuh, dulu jaga hubungan lelaki perempuan, tiba-tiba bercouple. Rakan kita yang nampak alim, tiba-tiba terdengar khabar dia berzina.

Ya, apa yang kita lakukan pada mereka-mereka ini?

Biasanya, mereka dihina. Disisihkan.

“Cis, menyampah gila aku. Dulu baik bukan main. Sekarang, mengalahkan aku buruknya. Aku pun tak pernah berdating dengan perempuan tau”

“Aku tak sangka betul, dulu bukan main solehah. Ingatkan aku itu ini. Sekarang tup-tup keluar dengan mamat tu. Tak senonoh la. Hipokrit”

“Tengoklah budak sekolah agama tu. Kata je belajar agama. Dulu bukan main lagi ceramah bagi dalil-dalil Al-Quran ingatkan orang. Sekarang, entah syurga dengan neraka pun tak kenal ke hapa”

Dan 1001 macam lagi yang biasanya akan terlepas dari mulut kita. Atau paling tidak, terdetik di dalam hati.

Kenapa? Kenapa kita senang bersikap demikian?

Akhirnya, mereka yang dahulunya ala-ala ustaz ustazah harapan agama ini disisihkan kerana kemaksiatan dan keingkaran yang mereka lakukan di hadapan mata kita har ini. Mereka dikutuk, dihina, dikeji, dihentam-hentam. Dan 99%, semuanya dilakukan di belakang mereka.

Saya suka bertanya.

Siapa yang pernah pergi dan bersembang, berbincang, mendalami kenapa mereka berubah sedemikian rupa?




Tiada siapa menarik mereka

Kita selalu kata begini:

“Alah, pelajar agama, takkan tak tahu”

“Dia kan hafal 30 juzu’ Al-Quran. Takkan la tak reti-reti lagi”

Tetapi pada saya, ini satu prinsip yang membawa kepada sikap kita yang saya nyatakan di atas. Ya, secara tidak langsung, kita seakan-akan meletakkan taraf pelajar agama, orang yang mengikuti usrah, mereka yang bertudung labuh dan berkopiah ini di taraf MALAIKAT.

Sedangkan, mereka adalah MANUSIA.

Bila namanya manusia, pasti ada waktu kesilapannya. Dan kadangkala, silapnya boleh jadi lebih buruk dari kesilapan mereka yang tidak pernah pun sekolah agama. Tetapi inilah dia ujian Allah SWT.

Dengan prinsip kita di atas tadi, maka kita meninggalkannya. Kita tidak menegurnya. Kita nampak dia mula berubah ke arah kejahatan, kita menjauhinya kerana kita kata dia dah tahu, dia mesti dah faham serta sebagainya.

Kesilapan kita, adalah di sini.

Tiada siapa yang bergerak menarik mereka.

Sebagaimana kamu, mereka juga begitu, saya juga begitu

Bila kita melakukan kesilapan, kita senang untuk orang faham kenapa kita boleh tersilap. Kita tertipu ke, kita terjerat ke, kita memang betul-betul tak tahu kemudian terbiasa dengan kesilapan itu ke, dan 1001 sebab lagi.

Jadi, bila orang hentam-hentam kita tanpa memahami, kita pastinya sakit hati.

Begitulah perasaannya mereka yang buat silap. Saya kira, kita sama dalam hal ini. Baik kamu, mereka, mahupun saya.

Saya sendiri, amat benci manusia yang pakai hentam sahaja tanpa memahami. Kenal pun tidak, sudah menghentam macam dia tahu-tahu aja apa sebenarnya yang terjadi.

Jadi, apakah sikap kita?

Pernahkah kita mendekati ‘pendosa-pendosa yang beragama’ ini, atau kita sekadar menghina kesilapan, ketersasaran mereka dari jauh sahaja?

Mereka butuh manusia yang memahami

Kadangkala, ada something yang di luar jangkaan berlaku dalam hidup mereka ini. Sebab itu dari sebaik-baik manusia, boleh berubah sebegitu rupa. Kita yang biasa-biasa ni, melenting la. Kita terlupa bahawa dia rupanya manusia juga.

Tidak ramai yang mampu bersabar. Sedangkan, keadaan ini hanya boleh dihadapi oleh mereka yang tenang dan rasional.

Siapa yang pergi mendekati mereka, memahami mereka, cuba mencungkil apa sebenarnya permasalahan mereka, kenapa mereka sampai boleh tersasar sedemikian rupa. Siapa? Siapa yang berusaha sedemikian rupa?

“Aku tegur dah dia” Ya la, tegur macam mana? Tegur sekali pastu blah? Tegur 10 kali lepas tu penat?

Kadang-kadang, kita terlupa yang kita tak pernah pun bina ‘jambatan hati’ dengan mereka. Kita tak kenal mereka dalam erti kata sebenar. Kita dan dia tak pernah ada apa-apa perkongsian.

Bila terjadi perkara sebegini, kita lebih senang menghentam. Tegur sekali dua, lepas tu kata tak ada harapan. Ajak masuk usrah balik semula dua tiga kali, kemudian kata dia dah tak dapat hidayah.

Ini masalah kita.

Kemudian kita salahkan dia.

Sebenarnya, kita pun sama. Berputus asa mengajak dia ke jalan Allah.

Bila dia berdosa, tak kira la dia budak agama ke, ulama sekalipun, sepatutnya kita layani dia dengan baik. Tunjukkan dia jalan yang betul.

Sejak bila seseorang itu bila dia jadi pelajar sekolah agama, dia ikut usrah, dia pernah berdakwah ajak orang buat baik, dia keluaran Al-Azhar ke hapa ke, bila jadi maksum?

Sejak bila pula, manusia-manusia ni, bila buat dosa, dibolehkan kita membiarkan mereka?

Bukankah layanannya tetap sama dengan orang yang tidak pernah belajar agama, tidak pernah ikut usrah, tidak pernah berdakwah yang buat dosa?

Yakni tegur, dan pimpin mereka.

Pimpin ya. Pimpin. Fahami maksud perkataan pimpin.

Mereka lebih baik. Kami bukan pelajar agama

Satu lagi kesilapan kita, kita suka kata: “Mereka budak agama. Aku bukan budak agama. Mereka pakai tudung labuh. Aku tudung tiga segi aja”

Dan akhirnya, kita tinggalkan mereka.

Ini kesilapan yang paling besar. Siapa la ajar penegur itu kena sempurna. Kita ni, menegur sambil memperbaiki diri. Kita budak agama ke, bukan budak agama ke, kalau sesuatu kita rasa patut tegur, walaupun teguran kita tu ala-ala menghentam diri sendiri, kena tegurlah juga.

Apa barang bai main kutuk-kutuk belakang aja?

“Dia kan budak agama, dia mesti faham”

Kalau macam itu, budak agama mestilah malaikat semuanya. Tak akan ada buat salah.

Ala, macam kita belajar la. Faham-faham pun, bukan dapat 100% dalam periksa. Betulkan?

Ada ke yang skor semua mata pelajaran dia 100%?

Kalau ada pun, sekelompok kecil aja.

So, macam mana sekarang?

Kena tegur la. Bergerak mendekati mereka ini. Fahami masalah mereka ini. Mana tahu, hati mereka meronta-ronta untuk kamu membantu mereka sebenarnya.

Penutup: Kamu berdosa kalau sekadar membiarkan

Ya, kamu berdosa. Sebab mencegah kemungkaran itu adalah wajib.

“Saya mencegah dengan hati” Ha ha.. ini alasan kamu nak bagi kan?

Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya kamu tidak mampu”

Jadi, kalau ada kudrat, ada suara lagi, ada tenaga lagi, itu tandanya ‘mampu’ itu masih ada pada kamu. Maka, kamu berdosa kalau tidak menegurnya. Teknologi hari ini lagi la ada macam-macam. E-mail ada, facebook ada, Yahoo Messenger ada. Kalau nak pakai gaya zaman P.Ramlee pun boleh – tulis surat.

Kemudian, tegur bukan sekali.

Berkali-kali. Sampaila terjadi salah satu dari empat perkara. Apa dia?

Kamu mati.



Dia mati.



Matahari terbit dari barat.



Dia berubah.

Selagi tak berlaku empat perkara ini, adalah tidak patut kita berputus asa dalam memberikan teguran. Kalau tak makan dengan plan A, kita bagi dia plan B. Kalau plan B dia tak boleh jugak, kita bagi dia plan C. Sampai la plan Z. Kalau tak boleh jugak, kita bagi dia plan AZ pula. Kalau tak boleh lagi, bagi plan BZ dan begitulah seterusnya. Sampai salah satu dari empat perkara tadi terjadi pada kita.

“Tapi dia budak agama” Kamu ulang lagi benda ni.

Sudah-sudah. “Dia manusia juga” itu kata saya.

Ayuh, jangan cakap belakang sahaja.

Rapati dia, berikan nasihat. Laksanakan tanggungjawab kamu sebagai seseorang yang faham bahawa dia telah tersasar daripada Allah SWT.

Sesungguhnya, menebarkan kebaikan itu adalah tanggungjawab orang yang beriman.

Tidak kira, kamu budak sekolah agama, atau bukan.

Buah fikiran dari langitilahi

Kerana Cinta, Lahir CintaNya


Dialah cinta pertama dan terakhirku. Dialah bakal suamiku. Dialah yang terbaik untukku dunia dan akhirat. InsyaAllah kami akan mengecap bahagia bersama hingga hujung nyawa.
Hari demi hari kami menyulam cinta, kesetiaan dipertaruhkan, janji diikat bersama, cita-cita sama-sama diimpikan, aku merasakan pelangi hidupku semakin bersinar indah.
Kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Kerana kesalahanku yang kecil dia mempersoalkan. Petir-petir kesangsian mula menyambar. Namun, aku tabahkan hati. Aku ingin mempertahankan cinta sejati ini. Hingga suatu saat kata putus dilafaskan. Aku bingung. Bukan ini yang aku impikan. Aku mencari jawapan, mengapa ini yang dia inginkan. Suatu jawapan muncul bersama petunjuk Ilahi. Rupanya kesetiaan yang diharapkan hancur berkecai. Tangisanku tak pernah ku hentikan. Setiap perkara aku fikirkan. Tatkala hati berkecamuk, suatu ketenangan muncul. Ya, ini petunjuk Ilahi. Aku perlu gagahkan hati. Aku hampir lupakan cintaNya tapi Dia masih mengasihi aku.
Ya tuhanku, ampunilah aku.
Akhirnya segala yang terjadi kerana cinta duniawi, aku cuba lupakan. Disamping itu, aku terus menggapai cinta yang agung, cinta hamba kepada pencipta. Dengan bantuan sahabat dan keluarga, aku kembali mencari sinarNya.



Cintakan bunga, bunga akan mati.
Cintakan manusia, manusia tidak boleh dipercayai.
Cintakan Allah, kekal abadi.

Ungkapan ini, ungkapan pertama saya terima dari seorang kakak angkat yang bernama Siti Marziah. Saya tidak pernah kenal erti cinta ketika itu. Cinta ibarat mainan orang dewasa. Namun apabila usia meningkat remaja, saya cuba mengerti ungkapan cinta. Ungakapn itu penuh bermakna apabila saya dewasa dan mengenal erti cinta Ilahi. .
Teringat hadis nabi, "Saat yang paling ditakuti apabila kali pertama seorang anak perempuan itu akhil baligh ialah apabila dia menerima sekuntum bunga dari seorang lelaki."
Tepat sekali hadis ini. Cerita di atas adalah olahan semata-mata dari kisah seorang sahabat terdekat saya. Ya, ini benar dan saya rasakan ada yang pernah alami keadaan ini.
Saya bersamanya disaat dia benar-benar layu dipukul cinta yang tidak setia. Ketika itu saya tidak benar-benar mengerti apa yang dialaminya. Namun demi rasa kasih dan cinta seorang sahabat, saya memberinya semangat. Saya ungkapkan sayang padanya.
Wahai sahabatku, aku sangat menyayangimu kerana Allah. Aku sedih melihat tangisanmu. Aku ingin paut tubuhmu kembali berdiri tegak seperti sedia kala. Namun aku jua insan biasa.
Kerana kesibukan saya, saya hanya dapat melihat kesedihannya dari jauh. Maafkan saya, sahabat. Hampir setiap masa saya berada diluar rumah hinggalah saat ingin pulang bercuti, saya menghulurkan salam padanya dan dia menyambut dengan satu pelukan serta menyatakan kelemahannya bersama esakan tangisan.
Wahai sahabatku, alangkah baiknya andai aku dapat menanggung semua bebananmu bersama.
Sekembalinya dari cuti, saya lihat seorang sahabat dengan semangat yang berbeza. Alangkah gembiranya hati ini. Dia banyak berubah. Solatnya berjemaah, suaranya dialun dengan ayat-ayat suci, bibirnya ditutur dengan kebesaran Allah, auratnya bertambah baik.
Alhamdulillah. Syukur ya Allah. Tuhan yang Maha Pengasih. Hidayah itu milikmu, terima kasih kerana kau kurniakannya pada sahabatku ini.
Diri ini terasa amat kerdil. Perubahan dirinya meningkat ke arah kebaikan tetapi diriku masih ditahap yang sama. Semoga saya dan dia terus istiqamah untuk mengecap bahagia di akhirat.
Wahai tuhanku, Kau bisa membolak-balikkan hati hambaMu ini. Maka, Kau sucikan hatiku serta sahabat-sahabatku. Kau limpahkanlah taufiq serta hidayahMu, Kau kuatkanlah hati kami dalam melayari kehidupan ini.


Cinta itu indah. (^_^)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails