REDHA

REDHA

ALLAH

ALLAH

KITA

KITA

CARI

CARI

Warkah buat Khairusyifa'

11 June 2010

Assalamualaikum….



Telah satu jam hujan berhenti selepas hampir enam jam turun tanpa henti… Di saat ini, hati masih mengenangkan insan yang telah lama menyentuh hati ini di saat tiada sesiapa yang berjaya menyentuhnya dan secara tiba-tiba, aku terimbau kembali segala yang telah aku lakukan pada kamu. Segala yang telah aku lakukan kepada kamu, bukan kerana telah pudar kasih aku pada kamu tetapi kerana aku ingin membataskan apa yang telah dibataskan dan aku telah sedaya upaya untuk menjaga batasan itu semampu yang boleh. Aku tidak ingin, kerana berkasih-kasihan kita tercampak ke lembah kehinaan yang tiada penghujungnya. Setelah lama tidak menghubungi kamu, aku menghantarkan mesej ini kepada kamu agar kamu mengetahuinya dan aku meminta maaf kerana tidak menghantar SMS sahaja. Apa yang ingin aku katakan adalah terlalu panjang untuk dihantar melaluinya.


Telah Allah jadikan perasaan kasih sayang di dalam diri manusia. Jiwa dan raga menjadi subur serta kuat dengan hadirnya kasih sayang yang akan menyerikan sebuah kehidupan yang sementara di dunia ini. Tanpanya, kehidupan ini menjadi pincang dan serba tidak kena. Aku menulis ini agar kamu tahu salah satu ilmu yang telah berjaya memasuki pengetahuan aku. Ia adalah : “Sebahagian nilai-nilai yang terdapat dalam kasih sayang”.



Sayang atau Cinta :


Jika aku mengatakan bahawa aku mencintai kamu, maka aku sebenarnya telah menipu diri aku dan kamu serta ramai orang di dunia. Sayang adalah perasaan yang ringkas dan mudah seperti halnya kasih ibu bapa kepada anak-anak mereka dan sayang hanyalah sebahagian daripada perasaan cinta. Tetapi, cinta adalah perasaan yang lebih mendalam. Ia adalah lebih kompleks dan sukar untuk diterangkan. Apabila perasaan cinta terhadap sesuatu atau seseorang telah hadir di dalam hati seseorang, maka ia sanggup melakukan apa sahaja, berkorban segalanya untuk sesuatu atau seseorang yang ia cintai itu. Ketahuilah kamu bahawa, aku hanya kasih kepada kamu dan bukannya cinta kepada kamu.



Persahabatan :

Persahabatan adalah keakraban dari segi tingkah laku, tutur kata, perlakuan dan cara hidup seharian. Ketahuilah, aku tidak melayan kamu dengan terlalu mesra kerana pergaulan kita masih perlu dibataskan. Batasan ini perlu benar-benar kita jaga kerana tanpa penjagaan yang rapi, kita boleh menghampiri jurang kemaksiatan dan seterusnya terhumban ke dalamnya. Kerana itu, aku tidak banyak melayani kamu seperti mana aku melayani sahabat-sahabat aku yang lainnya. Aku harap kamu mengerti akan hal ini.



Akhlak yang baik :

Kamu telah pun mengetahui bagaimana kamu telah menyentuh hati aku sejak dari saat itu. Ketahuilah, yang telah membuatkan kamu berjaya menyentuh hatiku ini adalah kerana akhlak kamu itu. Aku harap, akhlak kamu tidak menjadi lebih buruk dari saat aku mengenali kamu dan aku hanya berharap agar akhlakmu dapat menjadi lebih baik dari semasa ke semasa.

Bertanggungjawab :

Rasa bertanggungjawab adalah keupayaan untuk menjaga orang yang dicintai itu. Setiap orang yang bercinta mesti bertanggungjawab kepada kekasihnya itu. Ingatlah, aku mungkin kasih kepada kamu tetapi tidak mungkin aku mencintai kamu sebelum sampai masanya kita dihalalkan. Jika kita mencintai Allah dan Rasul-Nya, maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mentaati Allah dan Rasul. Apalah ertinya jika kita mengatakan bahawa kita mencinta mereka sedangkan kita melanggar perintah mereka?


Hormat :


Kamu sedia maklum bahawa selama ini aku tidak banyak berbicara dengan kamu. Bukan kerana aku sombong, bukan kerana aku angkuh dan bukan kerana perasaan kasih aku telah pudar. Tetapi kerana aku mempunyai rasa hormat terhadap kamu. Aku menghormati kamu kerana kamu adalah wanita yang baik. Sekiranya aku melayanimu sepertimana aku melayani sahabat-sahabatku, aku bimbang akan timbul fitnah yang akan membinasakan kita berdua terutama sekali kamu kerana hati kamu tidak sekuat hatiku. Kerana itu, aku sentiasa menjaga pergaulan kita selama ini. Maaf, harap kamu dapat memahami apa yang aku katakan ini.


Prihatin :

Aku jarang menghubungi kamu kerana aku tidak ingin memberikan keprihatinan yang tinggi kepada kamu sebelum saat kita diijabkabulkan. Kamu sendiri telah sedia maklum, akan keadaan pasangan-pasangan yang bercinta sebelum datangnya saat perkahwinan mereka. Aku tidak mahu menjadi seperti mereka yang hanya mampu bertahan selama beberapa tahun setelah mendirikan rumah tangga. Oleh kerana itu, aku ingin menyimpan keprihatinan ini sehingga tiba masanya kita distukan dengan ikatan yang kukuh. Insyaallah…






Mesra :

Harap kamu memahami aku. Aku tidak mahu mesra tatkala berhadapan dengan kamu kerana aku tidak ingin perkenalan kita menjadi sesuatu yang dimurkai. Aku tidak mahu diri kita dicemari debu-debu dosa yang mudah bertempek di hati manusia. Kerana itu, aku kurang mencurahkan kemesraan kepada kamu.








Ya khairusyifa! Cukuplah sekadar aku memanggilmu dengan panggilan yang baik, kerana aku tidak mahu terlebih kemesraan kamu sehinggakan kamu terlupa bahawa kita masih dibatasi syarak. Aku tidak ingin banyak berhubung denganmu kerana aku ingin menunggu masa yang sesuai dan aku harap aku memahami akan masa yang sesuai itu. Itulah masa di mana hubungan kita tidak lagi dibatasi syarak sebagaimana sekarang. aku sering berdoa agar kita dapat melayar bahtera hidup ini bersama dalam keadaan yang Allah redhai. Maaflah, aku tidak mampu melayanimu sebagaimana pasangan kekasih yang lain. aku harap, kamu memahami aku…..


Sekian, assalamualaikum…

0 comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails