REDHA

REDHA

ALLAH

ALLAH

KITA

KITA

CARI

CARI

Kembara Muslim

26 July 2011

CATATAN MUSAFIR DI BUMI HO CHI MINH
Siti Juwairiyah Ali

thinking something

Penerbangan pertama delegasi kami yang dijangkakan berlepas pada jam 9.15 pagi lewat hingga jam 9.45 pagi. Pengalaman pertama menaiki kapal terbang agak mengerikan. Rasa loya dan pening-pening. Namun pemandangan yang indah dari udara menghilangkan konsentrasi terhadap apa yang dihidapi. Mata tidak pernah redup dari melihat awan di luar jendela pesawat sambil membaca sebuah buku “Wabak Sepanjang Jalan” hingga tiba di destinasi pada jam 10.36 pagi. Subhanallah, berkali-kali kalimah ini diucapkan apabila melihat kebesaran Maha Pencipta menjadikan segala yang ada di bumi ini sungguh indah. Berbeza dengan tanah kelahiran sendiri susun atur bangunan dan perancangan bandar di Vietnam agak padat dan tidak teratur. Bangunan seperti kotak-kotak kecil dan kesesakan jalan raya yang dipenuhi Honda dapat dilihat dari udara. Syukur saya diberi peluang menikmati keindahan ini.

Welcome Group UTHM Malaysia” tertulis di atas kertas A4 dilambai-lambai oleh seorang pemandu pelancong mengalu-alukan kehadiran kami di Lapangan Terbang Saigon. Kami di bawa berjalan-jalan di sekitar Bandar Ho Chi Minh oleh pemandu pelancong kami, Pak Aly. Pak Aly bisa berbahasa Indonesia, orangnya baik dan ramah. Suasana di dalam bas agak riuh apabila kami mendapati dua budaya berbeza antara Malaysia dan Vietnam apabila melihat cara pemanduan dan sikap pemandu di jalan raya. Kenderaan di jalan raya penuh dengan motorsikal atau lebih dikenali dengan Honda.Terdapat Honda yang dinaiki lebih dari dua orang dan pemandu hanya memandu sekitar 60 km/jam. Tidak hairanlah mengapa Vietnam mencatatkan jumlah kemlangan yang rendah.

Bilik 506, Hotel Hoang Hai Long di District 1 adalah tempat penginapan saya dan rakan se’JKK’, Kak Diana. Biliknya agak luas dan selesa serta dilengkapi kemudahan yang selesa bagi orang Asia. Tempat pertama yang dituju setelah tiba di hotel adalah VN Halal Restaurant untuk makan tengah hari. Masalah timbul apabila pelayan restoran tidak memahami bahasa Inggeris dan kami pula langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa Vietnam. Ibarat ayam bercakap dengan itik, kecoh ruangan makan tersebut. Berbagai body language digayakan namun sukar mencapai apa yang kami maksudkan. Akhirnya kami lega apabila Pak Aly datang ke ruang makan kami. Perut kenyang dengan berkongsi Chicken Sour Soup dengan nasi putih seramai 6 orang. Kami sangkakan kami sudah mencapai kata sepakat, namun pengalaman pertama yang pasti diingati apabila makanan kami dikira mengikut bilangan orang yang makan. “Rezeki pak cik kedai” bak kata orang. Selepas makan, kami berkunjung ke Pasar Ben Than untuk pertama kalinya. Restoran Saigon Seri Penang pula menjadi destinasi makan malam kami pada hari pertama delegasi ini. 8 jenis makanan dihidangkan, ada makanan melayu dan ada juga makanan Vietnam. Pemilik restoran ini merupakan anak Malaysia yang mengusahakan restoran ini sejak 1 Mac 2011.

Subuh seawal 4.30 pagi mengejutkan tidur yang lena. Keletihan berjalan di sekitar pasar malam, malam tadi hanya dapat direhatkan selama 4 jam. Pagi harinya pula kami memulakan pengembaraan keusahawannan ke destinasi pertama iaitu di Sports Center of District 1. Di sini terdapat kedai-kedai yang menjual alatan sukan serta kompleks sukan yang dipenuhi kanak-kanak dan pelajar sekolah yang berlatih bermain bola sepak. Keistimewaan perniagaan di Vietnam adalah lokasi kedudukan jenis kedai yang mudah dicari. Contohnya di District 1 ini, satu deretan kedai di sini adalah kedai yang menjual alatan sukan, samalah seperti deretan kedai yang lain. Satu blok kedai itu adalah jenis perniagaan yang sama. Kedai dan restoran francais milik America dan Perancis juga terdapat disini seperti Parkson dan KFC. Destinasi yang kedua pula di China Town. Disini terdapat barangan pelbagai jenis yang dijual secara borong termasuklah kain, pakaian kanak-kanak dan kasut. Kemahiran tawar-menawar sangat memberikan kelebihan kepada pembeli untuk mendapatkan harga yang murah sehinggakan satu kumpulan kecil dari delegasi kami dapat membeli lebih daripada 10 jenis beg hiking dengan harga serendah 10 dolar.

Pengembaraan sepasang kaki keletihan menuju ke Cholon Jamial Mosque di District 5. Perut yang berkeroncong diisi penuh dengan makanan Muslim Halal 641 iaitu kafeteria dibelakang masjid yang diusahakan oleh penduduk Islam yang tinggal di sekitar masjid. 5 jenis makanan dihidangkan dan yang paling istimewa ialah udang disalut tepung yang sangat sedap. Usai solat jamak zohor dan asar, kami diberi peluang untuk beramah mesra dengan penduduk di sini. Kisah tentang kehidupan mereka sebagai Muslim di Negara komunis ini di ceritakan kepada kami. Sebelum pulang, wakil dari delegasi kami menyampaikan cenderahati kepada Imam Masjid Cholon Jamial tanda kenang-kenangan dari universiti.

Pengembaraan diteruskan ke laluan lorong-lorong kecil yang menemukan sebuah kedai menjual pakaian sukan berjenama. Buat pertama kalinya dalam dua hari penjelajahan keusahawanan ini saya membeli sesuatu. Hanya 19 dolar dibelanjakan untuk 4 helai t-shirt berjenama nike dan adidas akan menjadi hadiah buat abang dan ayah di Malaysia. Keterujaan membeli apabila kami dibawa ke rumah penduduk Islam Vietnam yang mengusahakan telekung dan pakaian Muslim. Rumahnya penuh dengan pakaian. Telekung yang penuh dengan sulam-sulaman jahitan tangan dijual serendah 10 dolar. Jubah dan baju kurung juga terdapat pelbagai corak. Kami memborong sehinggakan ada yang menempah dan pakaiannya akan dihantar ke hotel. Petang itu kami ke sebuah lagi pasar yang menjual barangan borong.

Hujan turun selebat kenderaan yang bertali arus di jalan raya. Cuaca petang itu langsung tidak membantutkan pergerakan penduduk kota Ho Chi Minh ini. Kehidupan mereka berlalu seperti biasa. Mereka menaiki motorsikal dengan memakai baju hujan meredah lecak dan lopak. Bila hujan, perut terlalu cepat berkeroncong. Sebelum Maghrib, kami menuju ke Restoran Halal @ Saigon yang terkenal dengan hidangannya yang enak. 9 jenis makanan dihidangkan dan yang paling istimewa ialah kuih pau bakar yang dihidangkan di akhir sajian. Restoran ini terletak betul-betul di hadapan Masjid India. Di sekitarnya pula ada 2 lagi restoran halal. Serba sedikit tentang penduduk Islam disini deceritakan kepada kami oleh salah seorang Jemaah masjid yang fasih berbahasa Melayu tetapi dialek Kelantan. Pelbagai program dianjurkan oleh masjid ini jika ada peristiwa-peristiwa besar dalam kalendar Islam. Sambutannya meriah daripada penduduk Islam tempatan dan pekerja Islam yang bekerja di Negara Vietnam ini.

Malam terakhir pengembaraan ini, kami ke sebuah lagi pasar malam. Pasar malam ini sangat hingar bingar dengan bunyi kenderaan dan menyebabkan kami menggunakan masa kurang dari 1 jam diperuntukan untuk membeli-belah dan meninjau aktiviti perniagaan. Setibanya di hotel, kami meluru ke pasar malam yang terletak berhadapan dengan Pasar Ben Than. Perkara yang perlu dielakkan semasa berurusan dengan peniaga disini ialah jangan tawar menawar jika tidak berminat untuk membelinya. Kadang-kadang peniaga tersebut sendiri menarik dan memanggil tapi gunalah pelbagai helah untuk elakkan diri dari terperangkap. Mereka akan pakaikan kita pakaian tersebut, tunjuk dan keluarkan pakaian yang lain sehinggalah kita membelinya. Bersedialah untuk dimarahi jika kita tinggalkan dia begitu sahaja tanpa membeli apa-apa.

Untuk terakhir kalinya, saya ke Pasar Ben Than untuk membeli beberapa cenderahati yang akan di hadiahkan kepada keluarga sebelum bertolak pulang ke Malaysia. Beberapa buah tangan untuk rakan-rakan di Malaysia juga dibeli. Apa yang dapat ditafsirkan sepanjang tiga hari sepasang mata kecil berkeliaran di kota Ho Chi Minh ini ialah kegigihan dan sikap rajin berusaha penduduknya yang tak pernah kenal erti penat, siang atau malam, panas atau hujan mereka bekerja sekeras tenaga yang ada.  Sikap ini patut dicontohi oleh rakyat Malaysia lebih-lebih lagi dalam bidang perniagaan. Usah diimpikan kejayaan jika takut dengan risiko yang akan dihadapi. Catatan ini akan dijadikan pengalaman terbaik dalam hidup sepanjang pengembaraan seorang musafir kecil berjiwa besar ini. InsyaAllah, pengalaman adalah guru yang terbaik.



Timbalan Pengerusi
Kolej Kediaman Melewar 2010/2011
3-5 Julai 2011
Ho Chi Minh City

Kamera Poket Si Pengembara

Hairan. Budaya yang berbeza.

Salah satu bangunan pencakar langit di Vietnam.

Lif makanan.

Macam-macam ada.

Tauhu sedap.

Walau ribut dan taufan, redah je.

Sehingga ketemu lagi.

13 comments:

Nat Cure said...

rajinnye dia berjalan...

July 26, 2011 at 8:16 AM
Mujahidah Amar Ma'ruf Nahi Mungkar said...

program u..alhamdulillah dberi pluang..
**ayat skema sbb ni report hantar kt lecturer.. :p

July 26, 2011 at 5:50 PM
Anonymous said...

assalamualaikum,
Siti Juwairiyah....

Nk tanya sedikit pasal vietnam...buleh tak sekiranya cik nyatakan dia area mana cik pergi membeli belah....ataupun nama kedai yang cik pergi.. saya mungkin akan kesana dalam waktu terdekat ini.. harap2 cik dpt membantu. buleh saya tahu dimana hendak beli barangan nike dan adidas beserta telekung sulaman yg cik nyatakan diatas..
terima kasih..

September 17, 2011 at 10:09 PM
juwairiyah said...

waalaikumussalam..
banyak tempt membeli-belah yg sy pegi..antaranya:
-ben tahn market
-sport center of district 1
-binhtay market -menjual barangan borong spt beg dll
-c/c nguyen thien thuat p, 1-q,3 -jersi
-duong cao thang -telekung

September 20, 2011 at 10:28 AM
Anonymous said...

Salam Juwairiya,

nak tanya, di Duong cao thang tempat jual telekung tu, di kedai atau di rumah orang? di sana, lebih mudah travel naik teksi atau kite hire pemandu pelancong?
terima kasih
-Ila-

November 10, 2011 at 12:11 AM
Anonymous said...

wslm..
di rumah..
sy fikir jika ada tourist guide lebih mudah..
rumahnya agak terperosok ke dalam..

December 8, 2011 at 11:02 AM
Baitie ^_^ said...

boleh saya dapatkan no tourist guide pak ali tu terima kasih

January 6, 2012 at 12:51 AM
mas said...

Amwm Juwairiya,

Ada cantact no. Pak Aly?saya akan ke sana bulan depan, berminat nak dapatkan telekung sulam & muslimah wear.syukran (",)

January 6, 2012 at 6:41 PM
mas said...

Amwm Juwairiya,

Ada cantact no. Pak Aly?saya akan ke sana bulan depan, berminat nak dapatkan telekung sulam & muslimah wear.syukran (",)

January 6, 2012 at 6:45 PM
mas said...

Amwm Juwairiya,

Ada cantact no. Pak Aly?saya akan ke sana bulan depan, berminat nak dapatkan telekung sulam & muslimah wear.syukran (",)

January 6, 2012 at 6:45 PM
Mujahidah Amar Ma'ruf Nahi Mungkar said...

maaf..sy da hilangkan bisnes kad pak aly.. :|
maaf xdpt membantu..

January 7, 2012 at 12:39 AM
Anonymous said...

kembara usahawan..tp hilang kontek penting..kalau rahsia pun xpe...rahsia usahawan...hehhe.. slmt menjadi usahawan ye...sori gurau2 ye...wslm....

October 2, 2012 at 9:14 AM
Anonymous said...

hilang klntek penting..kesian...slmt menjadi usahawan....hehehhe

October 2, 2012 at 9:15 AM

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails